Monday, February 11, 2013

♥ Take A Pause And Read

**I Sharing Because I Care**



(Disiarkan di Mingguan Malaysia - 3 Feb 2013)

BAHANA AGAMA DIPOLITIKKAN

APABILA agama dijadikan isu politik, tak dapat tidak ia akan tercemar. Politik kerap kotor. Apabila yang bersih dicampur dengan yang kotor, yang bersih akan jadi kotor, bukan sebaliknya.

Kita sedang menyaksikan pencemaran ini berlaku kepada agama Islam bukan sahaja oleh musuh Islam tetapi oleh orang Islam sendiri. Kehormatan terhadap agama, Nabi bahkan Allah sudah berkurangan.

Sudah ada pemuda Melayu yang sanggup berkata, "Kenapa kita perlu lindungi Nabi, Nabilah yang patut lindungi kita".

Seorang lagi pemuda Melayu dalam surat kepada seorang VVIP Melayu berkata, "Allah bukan ada 'patent rights'. Siapa pun boleh guna Allah.

Semasa lawatan Ratu Elizabeth ke Malaysia untuk Sidang Komanwel pada 1989, baginda tidak dibenar melawat masjid Shah Alam. Alasannya ialah kerana pihak berkuasa masjid tidak dapat menentukan beliau datang bulan atau tidak. Ratu Elizabeth pada masa itu berumur 64 tahun kerana seperti saya, baginda lahir pada 1925.

Sekarang kerana politik, perempuan bukan Islam yang masih boleh hamil dibenar masuk dalam masjid untuk bersyarah, untuk berjumpa Tok Guru. Wanita Islam tahu bila boleh masuk masjid. Apakah pegawai masjid sudah tentukan keadaan pemimpin wanita bukan Islam ini sebelum membenar dia masuk masjid. Atau apakah demi undi, yang tidak bersih pun boleh dianggap bersih.

Tetapi yang menyedihkan sangat ialah kenyataan Nik Aziz bahawa Nabi Muhammad SAW ialah orang biasa. Ia menjadi Nabi hanya setelah meningkat umur 40 tahun. Oleh itu kenapa perlu kita sambut hari Nabi SAW diperanakkan (Maulud Nabi)?

Dan Kelantan pun tidak merayakan Maulud Nabi tahun ini.

Tetapi saya baca dan lihat gambar Nik Aziz merayakan hari beranaknya di rumah Karpal Singh dengan bersalam dengannya, untuk merayakan hari Thaipusam.

Jelaslah bahawa bagi Nik Aziz, Mursyidul Am Pas, hari beranaknya boleh dirayakan bersama Karpal Singh. Maulud Nabi bukanlah sesuatu yang perlu kita rayakan.

Kalimah Allah sudah digunakan untuk pancing undi. Kerana ingin dapat undi pihak tertentu dalam pilihan raya, dinyatakan kalimah Allah boleh digunakan oleh siapa sahaja.

Kemudian apabila takut tak dapat undi pihak yang lain, dengan mudah dinyatakan kalimah Allah tidak boleh diguna selain dalam agama Islam. Bila ditanya kenapa dahulu kata boleh, jawabnya itu karut. Mursyidul Am Pas mengaku ia mengarut.

Soalnya ialah apabila kenyataan-kenyataan ini dibuat, apakah ia kerana Allah SWT atau kerana ingin memenangi pilihan raya, ingin jadi Perdana Menteri, ingin pancing undi. Apakah kalimah Allah dijual untuk undi duniawi.

Di Malaysia ada hanya Sunni. Tidak ada Syiah. Kita tahu apabila ada Sunni dan Syiah dalam sesuatu negara maka permusuhan yang ketat akan berlaku sepanjang masa sehingga ramai bunuh-membunuh berlaku antara mereka.

Malaysia tidak ada Syiah. Sebelum adanya pilihan raya tidak ada perpecahan di kalangan orang Islam di Malaysia kerana tafsiran Islam yang berbeza. Apabila pilihan raya memberi peluang untuk mendapat jawatan, elaun dan bermacam keuntungan, barulah perpecahan berlaku. Untuk mendapat nikmat duniawi maka agama diperalatkan. Maka mulalah tuduhan bahawa orang UMNO kononnya kafir supaya mendapat sokongan orang Melayu lain dalam pilihan raya. Maka berpecahlah orang Islam di Malaysia seperti yang terdapat di negara Islam yang mempunyai Sunni dan Syiah. Maka berlakulah sembahyang dua imam, kubur berasingan dan lain-lain. Maka diheretlah kalimah Allah, Maulud Nabi, sembelihan orang tertentu haram dimakan dan bermacam lagi.

Saya percaya pada masa hadapan akan berlaku lebih daripada ini. Agama Islam akan lebih dicemar oleh orang Islam sendiri. Jika ini disertai oleh orang bukan Islam maka akan berlakulah ketegangan hubungan antara kaum dan rusuhan di Malaysia. Negara yang aman ini akan menjadi seperti negara-negara yang mana penduduk terbahagi kepada Syiah dan Sunni dan agama-agama lain.

Sesungguhnya tidak ada sesuatu yang lebih bahaya daripada permusuhan kerana agama.

Mungkin mereka yang memperalatkan agama akan dimakan oleh agama. Wallahualam.

© Utusan Melayu (M) Bhd




Thanks to him :)

HE'S MY IDOL EVER









No comments: